“Yang
tua dihormati, yang muda disayangi”. Ungkapan ini memberikan seribu
pengertian dan gambaran yang sangat bererti kepada seluruh insan di
dunia ini tentang masyarakat penyayang yang perlu dipupuk dan dibenamkan
dalam sanubari kita selagi kita bergelar makhluk berakal yang
dianugerahkan oleh Tuhan. Memandangkan dunia sekarang yang semakin penuh
pancaroba dan aral melintang, maka masyarakat penyayang inilah yang
menjadi tulang belakang negara ke arah merealisasikan visi kudsi yang
semakin mendatang kira-kira 11 tahun lagi dari sekarang iaitu wawasan
2020. Lantaran itu, kerajaan telah menggariskan salah satu matlamat dan
cabaran wawasan 2020 iaitu melahirkan masyarakat penyayang bagi
mewujudkan sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju dari pelbagai
aspek. Persoalannya, apakah kepentingan masyarakat penyayang kepada
masyarakat kita dari dahulu, kini dan selamanya? Persoalan inilah yang
perlu dirungkai supaya masing-masing membuka mata agar masyarakat
sebegini akan terus menjadi amalan dan berkekalan di negara kita.
Pembentukan
masyarakat yang penyayang akan memantapkan perpaduan dalam kalangan
masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Seperti yang diketahui umum,
masyarakat penyayang menggambarkan masyarakat Malaysia yang hidup dengan
berlandaskan nilai kasih sayang antara satu sama lain. Mereka saling
membantu kerana ikatan ukhuwah sentiasa tertanam dalam naluri dan
sanubari mereka. Contohnya, amalan berkunjung ke rumah rakan-rakan
berlainan agama pada musim perayaan merupakan salah satu contoh amalan
yang berjaya memupuk semangat muhibah dan perpaduan kerana rakyat
masing-masing memupuk nilai penyayang. Begitu juga halnya ketika
rakan-rakan atau saudara-mara yang mendapat musibah, kita akan
memberikan bantuan yang sewajarnya dan berkongsi suka duka dengan mereka
kerana masing-masing mengamalkan sikap cubit paha kanan, paha kiri
terasa juga. Melalui nilai murni sebegini jelas terlihat mereka
mengamalkan hidup sandar-menyandar umpama aur dengan tebing. Jadi,
sesuai dengan gagasan Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian
Diutamakan cetusan idea Perdana Menteri Ke-6, Datuk Seri Mohd Najib Tun
Abdul Razak untuk melahirkan masyarakat penyayang yang mengamalkan
konsep Satu Malaysia akan terlaksana dengan jayanya.
Selain
itu, masyarakat penyayang mampu merobah paradigma masyarakat yang
bersikap bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Kita
lihat pada masa ini, kebanyakan warga kita sibuk mengejar kemewahan
duniawi kerana bagi mereka hidup yang singkat ini perlu diisi dengan
kemewahan. Mereka bekerja siang malam tanpa memikirkan peri pentingnya
masyarakat penyayang kepada diri, keluarga, masyarakat, dan negara.
Golongan inilah yang akan membantutkan usaha murni kerajaan ke arah
mewujudkan masyakat penyayang secara bersepadu dan menyeluruh.
Sebenarnya, melalui masyarakat penyayang kita akan lebih bersikap
prihatin dan rasional tentang apa-apa yang berlaku dalam negara mahupun
di luar negara. Sebagai tamsilnya, bencana alam yang dahsyat yang
berlaku di beberapa buah tempat baru-baru ini seperti gempa bumi di
Padang, Indonesia, tsunami di Samoa, dan ribut taufan di Filipina
memerlukan belas kasihan daripada rakyat negara kita untuk membantu
kerana berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Secara
implisit, masyarakat penyayang akan mengamalkan sikap saling menolong
kerana tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima.
Di
samping itu, masyarakat penyayang mampu membawa perubahan ekonomi
negara dan melonjakkan nama Malaysia di persada dunia. Sebenarnya,
masyarakat sebegini mampu menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke
negara kita yang akan membawa pulangan berbilion-bilion ringgit kepada
nusa yang tercinta ini. Rakyat Malaysia keseluruhannya diseru agar
bersama-sama menunjukkan nilai kasih sayang supaya pelancong
berduyun-duyun datang ke negara kita. Segala perkara negatif seperti
keganasan, penderaan, dan sikap hidung tinggi perlulah dibuang
jauh-jauh. Hakikatnya pelancong-pelancong dari negara atas angin dan
bawah angin akan datang ke negara kita untuk melihat panorama indah yang
unik di samping melihat rakyatnya yang penyayang. Misalnya, kedatangan
pelancong perlu diraikan dengan nilai kasih sayang daripada setiap ahli
masyarakat terutamanya pekerja yang terlibat secara langsung menguruskan
hal ehwal mereka. Dengan ini, masyarakat penyayang telah membawa
Malaysia ke landasan yang betul dengan memberi keuntungan kepada negara
dan kita mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan
negara-negara membangun malah negara maju yang lain.
Sudah
terang lagi bersuluh, kepentingan masyarakat penyayang akan mewujudkan
sebuah keluarga yang harmoni seperti yang diidam-idamkan oleh setiap
keluarga. Ikatan silaturahim bertambah erat apabila ahli keluarga
memainkan peranan terutamanya ibu bapa menjadi suri teladan kepada
anak-anak. Hal ini demikian kerana anak-anak diibaratkan sehelai kain
putih dan ibu bapalah yang akan mencorakkannya. Lagipun ibu bapa
berperanan untuk mendidik anak-anak sejak kecil ibarat melentur buluh
biarlah ketika rebung supaya anak-anak akan mengamalkan nilai kasih
sayang kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Contohnya, amalan
gotong-royong dalam sesebuah keluarga, ibu bapa meluangkan masa untuk
menemani anak-anak mengulang kaji pelajaran, bermain bersama-sama
anak-anak dan sebagainya dapat mempererat hubungan mesra antara ibu bapa
dengan anak-anak. Situasi ini mengelakkan keluarga daripada
bercerai-berai, porak-peranda, bergaduh kerana semua ahli keluarga
mengamalkan sikap penyayang. Jelaslah bahawa masyarakat penyayang
membawa perubahan yang drastik terhadap keluarga kerana keluarga
bahagia, negara sejahtera..
Kesimpulannya,
masyarakat penyayang banyak memberi manfaat kepada diri, keluarga,
masyarakat, dan negara. Usaha mewujudkan masyarakat penyayang dalam
negara kita yang terdiri daripada pelbagai ras, budaya, dan agama ini
memerlukan kerjasama yang jitu daripada semua pihak kerana hendak seribu
daya, tidak hendak seribu dalih. Pembentukan masyarakat penyayang
perlulah dilakukan secara bersungguh-sungguh dan bukannya hanya
hangat-hangat tahi ayam sahaja. Usaha ini merupakan tanggungjawab kita
sebagai rakyat kerana kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang
pada janjinya. Dengan ini, saya mencadangkan supaya kita perlu
menggembleng tenaga untuk meningkatkan usaha ke arah masyarakat
penyayang bagi mewujudkan negara bangsa yang cemerlang, gemilang, dan
terbilang.
Hasil Karya Pelajar
Justin Oliver Dinggai
Tingkatan Enam Atas 5
SMK Sacred Heart
Sibu, Sarawak.
No comments:
Post a Comment