Pada era globalisasi kini, pelajar berlumba-lumba untuk menjejakkan
kaki ke menara gading. Mereka mesti berjuang antara satu sama lain demi
untuk merealisasikan impian mereka dan juga impian kedua ibu bapa
mereka. Pada masa sekarang tubuh sasa dan rupa bentuk yang menawan buka
lagi menjadi ukuran. Kini yang menjadi ukuran ialah tahap pelajaran
seseorang, lebih tinggi tahap pelajaran mereka, lebih tinggilah
kedudukan mereka disisi masyarakat. Zaman sekarang adalah zaman ilmu.
Sesiapa yang tidak berilmu akan ketinggalan di belakang. Namun masih
ramai lagi pelajar-pelajar yang tidak mementingkan masa depan. Mereka
lebih suka merempit, terlibat dengan perkara-perkara yang tidak baik
yang hanya merosakkan masa depan mereka sahaja.
Sebenarnya mereka bukan anjing buruk kepala, jika mereka berusaha
dengan gigih, mereka juga boleh berjaya seperti orang lain. Dalam hal
ini, ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan
akademik anak-anak mereka. Kata orang melentur buluh biarlah dari
rebung. Disinilah peranan ibu bapa amat penting dalam mencorakkan masa
depan anak-anak mereka. Jangan tunggu sehingga mereka dah besar dan
terjebak dengan gejala sosial, baru ibu bapa mahu bertindak. Kejayaan
akademiklah yang akan menentukan haluan mereka di kemudian hari. Ibu
bapa harus menanamkan budaya suka membaca dan suka kepada ilmu terhadap
anak-anak mereka. Malah, wahyu yang pertama yang diturunkan kepada Nabi
Muhammad s.a.w adalah perkataan "Iqra!" atau "Bacalah!". Disini jelas
kepada kita bahawa mencari ilmu atau belajar itu amat penting dalam
kehidupan kita.
Untuk menggalakkan anak-anak suka membaca, harus dimulakan dengan
ibu bapa terlebih dahulu. Sekiranya ibu bapa rajin membaca di rumah,
anak-anak akan mengikut jejak langkah mereka. Sebab ibu bapa adalah
rujukan pertama anak-anak mereka sebelum mereka melangkah ke alam
persekolahan. Ibu bapa perlu memaksakan diri untuk menemani anak-anak
membaca. Jangan jadikan alasan penat atau sibuk untuk tidak menemani
mereka membaca. "Membaca itu jambatan ilmu'", dengan membaca baru kita
boleh dapat ilmu.
Untuk membaca kita perlukan bahan bacaan seperti buku, majalah, dan
sebagainya. Ibu bapa tidak boleh bersikap tangkai jering demi untuk
membeli buku-buku terutamanya buku-buku ilmiah. Malahan dengan galakan
pemotongan cukai yang diberikan oleh kerajaan untuk pembelian buku,
sepatutnya dijadikan dorongan untuk ibu bapa membeli lebih banyak buku.
Ibu bapa sepatutnya sering membawa anak-anak ke perpustakaan awam atau
ke pameran buku supaya sikap cintakan ilmu boleh dipupuk terhadap
anak-anak.
Ibu bapa juga haruslah sentiasa memastikan bahawa anak-anak membuat
kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru mereka. Temani mereka ketika
mereka membuat kerja rumah. Kalau perlu buatkan air minuman untuk mereka
semasa mereka membuat kerja rumah. Ambil berat tentang mereka supaya
mereka tahu bahawa kita amat mementingkan kejayaan akademik mereka.
Kalau kita tidak mampu untuk menyelesaikan kerja rumah mereka,
sekurang-kurangnya berilah nasihat betapa pentingnya kejayaan akademik
pada masa sekarang. Berilah contoh-contoh mengenai kejayaan saudara-mara
atau sahabat handai kita yang telah berjaya dalam bidang akademik. Kita
juga boleh memberikan contoh mereka yang gagal dalam pelajaran. Supaya
dengan contoh-contoh yang kita berikan ini dapat mendorong mereka untuk
lebih cemerlang didalam pelajaran mereka.
Sekiranya mereka gagal atau kurang cemerlang dalam pelajaran,
berikan galakan dan dorongan. Jangan menghukum mereka disebabkan
kegagalan mereka dan jangan sesekali katakan "awak gagal". Cuba katakan
kepada mereka "awak belum berjaya", untuk memberikan dorongan kepada
mereka supaya berusaha dengan lebih gigih sehingga mereka berjaya. Ibu
bapa perlu sentiasa memberikan nasihat dan kata-kata peransang kepada
mereka. "Batu yang keras, air pelekuknya, hati yang keras lidah
pelembutnya". Mudah-mudahan dengan nasihat yang lemah lembut, dan
kata-kata peransang yang baik dari kedua ibu bapa akan menguatkan lagi
semangat mereka untuk berjaya.
Kejayaan tidak datang sekelip mata. Kejayaan memerlukan pengorbanan.
Pengorbanan ibu bapa memastikan kejayaan akademik anak mereka adalah
pengorbanan yang begitu tulus dan suci. Harta yang paling bernilai yang
kita boleh tinggalkan untuk anak-anak ialah ilmu. Ilmu tidak boleh
dinilai harganya. Nabi Muhammad bersabda yang maksudnya "sekiranya kamu
inginkan akhirat, hendaklah dengan ilmu. Sekiranya kamu inginkan dunia,
hendaklah juga dengan ilmu. Sekiranya kamu inginkan kedua-duanya,
hendaklah juga dengan ilmu". Berikan ilmu yang secukupnya kepada
anak-anak supaya mereka tidak akan mendakwa kita mengabaikan pendidikan
mereka dikemudian hari.
No comments:
Post a Comment